Tuesday, May 17, 2011

Day 3: Ini Sejarah "KITA".


Mari Kita tengok graf dunia.

Era Jahiliyyah: Kegelapan

Pada zaman ini, sasaran besar yang perlu diberikan ialah menjelaskan permasalahan dan kemerosotan yang dialami oleh masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam. Keadaan dan suasana yang dihadapi oleh Muhammad s.a.w. dalam usaha menyampaikan seruan Islam. Dalam membicarakan era jahiliyyah wajar kita menumpukan kepada soal moral masyarakat Arab ketika itu.

Ketuhanan: Mereka asalnya mengikut ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. tetapi telah terpesong kepada penyembahan berhala dan nenek moyang. 400 tahun sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w., Amr bin Luhai membawa sebuah berhala Hubal dari Syam dan menjadi berhala yang pertama di Kota Makkah (diletakkan di atas Ka’abah). Setiap kaum mempunyai berhala mereka sendiri. Ada yang menjadikan berhala sebagai perantara dan masih menganggap Allah sebagai pencipta alam ini (Surah Luqman 31: 25).

Asobiyyah Jahiliyyah: Mereka sangat mengagung-agungkan kaum sendiri. Mudah menimbulkanperbalahan antara kaum atas sebab-sebab yang remeh. Juga suka merendah-rendahkan kaum lain. Keagungan kaum diperolehi dengan kehebatan dalam peperangan dan kekuatan persenjataan. Selain itu, sangat berleluasa perlakuan zina, judi, pembunuhan anak perempuan dan juga penindasan terhadapan golongan miskin dan anak yatim.

Era Makkah: Dakwah bermula…

Sasaran: Menyatakan peranan dan tugas utama yang dibawa oleh Muhammad s.a.w. sebagai Rasulullah, iaitu untuk berdakwah. Beberapa perkara lain yang perlu ditekankan adalah kesungguhan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dalam berdakwah dan isu utama yang diselesaikan oleh para pendakwah pada era ini (persoalan aqidah tauhid). Era ini berlansung selama 13 tahun (610 – 623M).

Penurunan Wahyu: Permulaan Misi Dakwah
Apabila Nabi Muhammad s.a.w. menghampiri umur 40 tahun. Baginda mula pergi ke Gua Hira’ di Bukit Nur. Kisah penurunan wahyu diterangkan dalam hadith diriwayat Aisyah r.a.:

…Jibril menemui baginda dan memerintah baginda membaca dengan katanya: Bacalah,
jawab baginda: Daku tidak tahu membaca, dipeluknya baginda sehingga kepenatan dan diperintah sekali lagi dengan katanya: Bacalah, jawab baginda: Daku tidak tahu membaca, maka dipeluknya hingga baginda kepenatan, diseru lagi dengan katanya, bacalah! danjawab baginda daku tidak tahu membaca, dipeluknya Baginda kali ketiga kemudian dilepaskan dengan katanya:

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ * خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ * اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ * الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ *
عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ *

Terjemahan:
1. Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),
2. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
4. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, -
5. Ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.
(Surah Al-'Alaq 96: 1-5)...”

Kemudian baginda s.a.w. pulang kepada Khadijah r.a. dan seterusnya bertemu Waraqah bin
Naufal, mengesahkan kenabian baginda. Berlaku penangguhan wahyu selama 40 hari.
Wahyu kedua: Surah Al-Muddastsir: 1-7

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.” (74:1-7)

Dakwah Sirriyah: 3 tahun yang tersembunyi

Rasulullah s.a.w. kemudiannya memulakan seruan dakwahnya kepada mereka yang terdekat dan dipercayainya. Ini termasuk Khadijah, Zaid bin Haritsah, Ali bin Abi Thalib dan Abu Bakr r.a. (golongan pertama). Melalui Abu Bakr r.a. : ‘Uthman bin Affan, Zubair bin Al-‘Awwam, Abdul Rahman bin ‘Auf, Saad bin Abi Waqas dan Thalhah bin ‘Ubaidillah r.a.. Seterusnya, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Said bin Zaid dan Fatimah Al-Khattab, Bilal bin Rabah, Abdullah bin Jahsy dan Suhaib Ar-Rumi. Selama 3 tahun, seramai 40 orang (anggaran) yang memeluk Islam. Rasulullah tidak berlengah dalam memulakan seruannya. Bagi baginda “Sudah berlalu masa tidurku”

Dakwah Jahriyyah: Seruan terbuka

Bermula dengan keluarga (Surah As-Syu’ara’ 26: 214),

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”

Nabi menyeru kepada kaum keluarganya (2 majlis kenduri). Pertama: Rasulullah s.a.w berdiam diri dan langsung tidak berkata apa-apa pun kerana Abu Lahab membuat kecoh. Kedua: Abu Talib menyatakan kebersediaan dia untuk menyokong Nabi s.a.w.

Kemudian, seruan kepada masyarakat umum:

“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.”
(Surah Al-Hijr 15: 94)

Nabi menyeru kepada penduduk Makkah di Bukit Safa. Rasulullah berkata: Bagaimana kalau ku katakan kepada kamu kalian, bahawa di sebalik bukit sana ada musuh berkuda akan menyerang kamu, apakah kamu boleh percaya cakap ku itu? Jawab mereka: Ya kami percaya, sebab selama ini belum pernah kami berpengalaman, selain dari kebenaranmu. Maka sambung Rasulullah dengan kata-katanya: Sesungguhnya aku hendak memberi peringatan kepada kamu kalian bahawa azab sengsara sedang menanti kamu! Maka kata Abu Lahab: Binasalah kau diseluruh hari ini, apakah untuk ini maka kamu mengumpul kami semua, dengan itu turunlah ayat Allah yang bermaksud:

"Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab ".

Nabi Muhammad s.a.w. meneruskan usaha menyebarkan Islam selama 13 tahun kepada setiap manusia di Makkah dan sekelilingnya. Dakwah Islamiyyah tetap diteruskan walaupun mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi.

1. Penentangan oleh Kaum Quraisy dan juga Bani Tha’if.
2. Tuduhan [Tenung nasib, Gila (Surah Al-Hijr 15: 6), Penyair, Sihir (Surah Shad 38:4)]
3. Siksaan [Nabi, Mus’ab bin Umair, Bilal3, Ammar dan Keluarga Yasir4, Khabbab bin Al‘Arts]
4. Boikot selama 3 tahun pada tahun 7 Nubuwwah [Bani Hasyim dan Bani Muthalib]
5. Diplomasi [Gilir-gilir sembahan (Surah Al-Kafirun), ‘Utbah bin Rabi’ah: Harta, Kehormatan, Raja atau bagi tabib]

Ada satu kisah tentang Abu Dzar Al-Ghifari. Beliau mahu mendalami Islam lalu pergi Makkah sendiri. Bertemu dengan Ali r.a. dan dibawa bertemu Nabi Muhammad s.a.w.. Dia mengisytiharkan keislamannya di tengah-tengah Masjidil Haram dan dibelasah. Namun Al-Abbas tolong mempertahankannya. Selama 13 tahun baginda s.a.w. melakukan dakwah di Makkah, dan hanya 300 orang yang menerima Islam (anggaran). Sedangkan, Nabi s.a.w. mempunyai masa yang cukup panjang untuk berdakwah dan penduduk Makkah hanyalah dalam lingkungan 10 000 orang sahaja (anggaran diambil dari Perang Uhud). Rasulullah ‘sepatutnya’ telah bertemu dan berdakwah kepada setiap orang di Makkah. Kenapa dakwah Nabi tidak diterima sedangkan baginda dikenali sebagai Al-Amin? Pada permulaan ini, seruan Nabi s.a.w. menyeru manusia mentauhidkan Allah s.w.t. dan kembali beriman dengan kehidupan Akhirat. Secara keseluruhannya, seruan ini berkisar mengenai Aqidah. Tidak banyak syariat Islam yang ditetapkan pada era ini. Allah tidak membenarkan umat Islam pada ketika itu mengangkat senjata dan membalas penentangan.

“Tidakkah Engkau (hairan) melihat (Wahai Muhammad), akan orang-orang Yang (pernah) dikatakan kepada mereka: "Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang Yang belum diizinkan)…".” (Surah An-Nisa’ 4: 77):

Kualiti manusia yang menerima Islam: Berani, Bekerja, Produktif, Berfikir. Kualiti yang dilahir oleh baginda pada masa tersebut sangat mantap melalui ‘core group’ baginda sendiri. Dan bermula daripada situlah, lahirnya individu-individu yang sangat hebat dalam memperjuangkan Islam.

Penghijrahan ke Madinah: Anugerah daripada Allah. Allah telah memberikan anugerah kepada Rasulullah s.a.w. dengan pengislaman beberapa orang Madinah semasa kedatangan mereka ke Makkah untuk menunaikan haji. Bermula dengan 6 orang pertama pada tahun 11 Nubuwwah dan seterusnya:

Baiatul Aqabah I (tahun 12 Nubuwwah) : 12 orang dan penghantaran Mus’ab bin Umair
Baiatul Aqabah II (tahun 13 Nubuwwah) : 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan, dan perlantikan 12 orang naqib untuk mewakili kabilah masing-masing

Kini setiap pintu rumah di Madinah telah diketuk dan diseru kepada Islam. Islam diterima baik oleh penduduk Madinah. Kemudian turun arahan Allah untuk berhijrah ke Madinah. Kaum muslimin terpaksa meninggalkan kampung halaman, harta dan ladang-ladang.

Madrasah Nabi: Pembinaan Manusia selama 13 tahun. Jangka masa yang cukup panjang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. untuk pembentukan generasi pertama Islam. Segala ujian berupa fitnah dan penyiksaan yang berlaku kepada para sahabat telahmenyediakan mereka dengan ciri-ciri pendokong dakwah yang mempunyai ketahanan yang kuat dan rela berkorban apa sahaja demi Allah. Manusia yang tidak mampu menampung risalah ini tumbang dan kembali semula kepada kekufuran. Berlakulah proses pembersihan… Madrasah Nabi s.a.w. melahirkan generasi yang bersih daripada sebarang kesyirikan dan bebas daripada kepentingan peribadi. Mereka tetap tekad dalam perjuangan Islam walaupun tiada harta dan .Merekalah Qaedah Sulbah kepada perjuanagn Islam seterusnya.

No comments: