Wednesday, April 27, 2011

Akhlak? Penting Ker?

Akhlak yang mulia merupakan sesuatu yang amat disukai dan dipuji oleh Allah S.W.T, Rasullullah S.A.W dan seluruh manusia di alam ini sama ada yang beragama Islam mahupun yang bukan Islam. Dapat kita simpulkan disini bahawa akhlak bersifat sejagat. Melalui akhlak yang mulia, kita dapat menjalinkan hubungan kasih sayang dalam kalangan manusia sama ada manusia yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam.

Selain itu, melalui akhlak yang mulia juga, manusia tidak akan bersifat riyak dan sombong walaupun mereka hebat dan istimewa. Sebagai contoh, kita lihat sendiri akhlak Nabi Muhammad S.A.W. Firman Allah S.W.T dalam Al-Quran Surah Al-Ahzab: 21.


(33:21) لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا


Maksudnya: Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengaharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.

Beliau (Nabi Muhammad S.A.W) merupakan seorang rasul utusan Allah S.W.T yang paling mulia di dunia ini. Walaupunn memiliki jawatan yang tinggi sebagai pemimpin utama umat Islam, namun, dengan akhlak yang sangat mulia, baginda tidak memilih untuk bersifat riyak, angkuh dan sombong dengan kelebihan dan jawatan yang ada pada diri baginda. Jika kita menyedari tentang kepentingan berakhlak terhadap diri dan orang lain, sudah pasti tidak ada manusia yang terbiar dengan penderitaan dan kesusahan disebabkan kemiskinan, peperangan, bencana alam dan sebagainya. Ini kerana apabila manusia menyedari peranan akhlak dalam diri masing – masing, sudah pasti mereka tidak tegar melihat penderitaan saudara – saudara mereka yang kurang bernasib baik itu. Mereka akan segera menghulurkan bantuan tidak kisah dalam apa – apa bentuk seperti wang ringgit, pakaian, makanan, dan sebagainya.

Akhlak juga mendidik diri kita menjadi lebih baik dan bersikap positif disamping bersikap terbuka. Misalnya, jika ada dalam kalangan manusia melakukan kesalahan dan kesilapan sesama mereka, ia tidak akan berlaku permusuhan yang berpanjangan kerana pihak yang benar akan segera memberi maaf dan pihak yang salah akan bersegera meminta maaf. Selain itu juga, akhlak mendidik kita supaya menjadi insan yang bertolak ansur serta berlapang dada dengan bermacam – macam ragam dan kerenah manusia dan melahirkan masyarakat yang di antara satu sama lain mengutamakan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri.

Kesannya, akan lahir masyarakat yang adil dan bertimbang rasa di antara satu sama lain. Malah tidak akan ada di kalangan manusia yang terasa dizalimi dan rasa teraniaya. Selain itu, masyarakat yang rendah kedudukannya di dalam masyarakat akan dapat dihindarkan dan mereka tidak akan berasa terhina dan dihina oleh orang lain. Hasil daripada akhlak yang mulia, maka akan lahir masyarakat yang hidup aman damai, selamat sejahtera, berkasih saying dan harmoni. Maka, dengan itu tidak berlakulah di dalam masyarakat manusia hal – hal yang menakutkan datang daripada perbuatan sesama manusia.

No comments: